fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Wanita warga emas disahkan meninggal dunia


AMPANG, 10 Mac- Wanita warga emas berusia 85 tahun, mangsa kedua ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, disahkan meninggal dunia.

Mangsa kedua yang ditemui itu adalah isteri kepada mangsa pertama yang diselamatkan pada jam 6.54 petang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata wanita warga emas terbabit dikeluarkan pada jam 9.10 malam.

"Dia ditemui dalam rumah No 2, yang terletak bersebelahan lokasi tanah runtuh di Jalan T1/2J.

"Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, diperingkat awal maklumat yang kita terima lima mangsa yang terperangkap.

"Dua telah kita temui, iaitu satu lelaki cina, selamat dan satu lagi wanita iaitu pasangannya, telah meninggal dunia. Tiga lagi mangsa melibatkan dua buah rumah iaitu rumah nombor satu dan rumah nombor tiga yang kita belum pasti lagi sama ada penghuni berada di dalam rumah atau tidak," katanya.



(Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak pada sidang media di lokasi kejadian)

Katanya, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus dan kerja-kerja mencari masih diteruskan.

"Pasukan penyelamat terdiri daripada pegawai dan anggota JBPM Selangor, selain Polis, anggota Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Dua jentera dengan anjing pengesan turut digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat dan semua penduduk di Taman Bukit Permai ini telah ditempatkan di PPS Taman Mega Jaya," katanya.

Media Baharu