fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Dua kali runtuhan tanah berlaku - Saksi

AMPANG, 10 Mac- Dua kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis.

Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang tadi.

Azril Sham Mohamed, 50, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.

"Apabila saya sampai di rumah sekitar pukul 6:00 petang tadi, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah saya.

"Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Azril berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.

(Gambar fail)

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada pukul 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti.

Media Baharu