fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: 15 rumah rosak, lima mangsa tertimbus

 (Keadaan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan pada petang Khamis/FOTO Ihsan Bomba)

AMPANG, 10 Mac- Dua mangsa sudah dikesan manakala 3 lagi individu dikhuariti tertimbus akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, di ibu negara.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata mangsa pertama berumur 84 tahun  berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 6.54 petang, mengalami cedera ringan manakala mangsa kedua dikesan pada pukul 7.53 malam.

Katanya, mangsa kedua merupakan seorang wanita dan usaha membawa keluar sedang giat dijalankan.

"Operasi mencari dan menyelamat ketika ini sedang giat dilaksanakan terutama usaha membawa keluar mangsa yang masih terperangkap di dalam runtuhan selain cuba mengesan jika terdapat mangsa lain yang tertimbus.

(Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan)

"Setakat ini, pihak kami mengesan masih terdapat pergerakan tanah di kawasan runtuhan di mana insiden ini turut menjejaskan sekurang-kurangnya 15 kediaman dan 10 buah kenderaan," katanya.

Jelasnya, sebuah jentera dengan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

"Berdasarkan maklumat awal saksi menyatakan terdapat empat mangsa masih hidup berkemungkinan tertimbus dalam kejadian ini yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang.

"Pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pandan digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 5.54 petang, sebelum tiba dan melakukan usaha menyelamatkan mangsa," katanya.

Media Baharu