fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: Tiga warga Singapura ditemukan selamat - Wisma Putra

(Siaran media Wisma Putra/Foto Twitter @kpkt_gov)

PUTRAJAYA, 17 Disember- Tiga warga Singapura ditemukan selamat dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi semalam.

Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan perkara itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut memaklumkan Kerajaan Malaysia bertindak pantas dalam memastikan semua yang terjejas akibat tragedi itu diberi bantuan segera.

"Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden tragis berkenaan.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat melibatkan 94 mangsa.

Setakat ini, 12 orang dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan sejak awal pagi semalam, melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

(Foto Twitter @kpkt_gov)

Media Baharu