KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Malaysia kini mencatat kapasiti tenaga boleh diperbaharui (TBB) sebanyak 4,571.06 megawatt (MW) setakat Julai 2025, dengan tenaga solar menyumbang sebahagian besar iaitu 4,242.85 MW.
Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian tersebut menggambarkan hasil keberkesanan pelaksanaan dasar serta program strategik tenaga bersih negara sejak beberapa tahun lalu.
“Sehingga Julai 2025, Malaysia telah mencapai kapasiti operasi tenaga boleh diperbaharui sebanyak 4,571.06 megawatt, dengan tenaga solar menyumbang sebahagian besar iaitu 4,242.85 megawatt."
"Tenaga boleh diperbaharui kini merangkumi 31 peratus daripada campuran elektrik negara. Ini menempatkan kita di landasan kukuh untuk mencapai sasaran 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050,” katanya ketika menyampaikan ucapan utama pada Ministerial Luncheon Talk – Driving the Green Energy Transition anjuran Kumpulan MBSB di M Resort & Hotel, hari ini.
Tambahnya, perluasan kapasiti solar dipacu pelbagai inisiatif kerajaan seperti tarif galakan (FiT), projek solar berskala besar (LSS), serta skim Net Energy Metering (NEM) dan Solar Community (SELCO) yang menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dan sektor swasta.
Fadillah turut menegaskan bahawa usaha ini sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan sifar bersih menjelang 2050, sambil memastikan bekalan tenaga negara kekal mampan, stabil dan berpatutan.