fb fb fb fb fb

Malaysia pertimbang guna tenaga nuklear selepas 2030

Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Malaysia sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sebahagian pelan jangka panjang campuran tenaga negara.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, keputusan muktamad mengenainya hanya akan dibuat selepas tahun 2030.

Jelas beliau, kerajaan belum bersedia untuk membina loji tenaga nuklear, namun telah menubuhkan satu organisasi tenaga nuklear (NPO) bagi meneliti keperluan dan rangka kerja berkaitan.

“Buat masa ini, tenaga nuklear sudah menjadi salah satu pertimbangan kami. Dari segi dasar, kami telah memutuskan untuk menganggap nuklear sebagai salah satu sumber tenaga masa depan.

Namun, untuk melaksanakannya, ia sangat bergantung kepada banyak perkara,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama dalam sesi Ministerial Luncheon Talk: Driving the Green Energy Transition, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, inisiatif nuklear negara masih dalam fasa analisis dan persediaan, termasuk kerjasama awal dengan Perancis, Rusia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan China.

"Malaysia turut mempunyai tenaga mahir dalam bidang nuklear, susulan kewujudan ramai bakat tempatan yang kini bekerja di loji nuklear luar negara dan berpotensi dibawa pulang sekiranya projek dimulakan," ujarnya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menjelaskan langkah mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear merupakan strategi memperoleh sumber tenaga beban asas yang lebih mampan selepas peralihan daripada arang batu.

Jelas Datuk Seri Fadillah, permintaan tenaga dijangka terus meningkat hasil pembangunan pusat data, elektrifikasi kenderaan dan pertumbuhan industri berteknologi tinggi.

Kerajaan juga kekal komited untuk tidak membenarkan pembinaan loji janakuasa arang batu baharu.

Sebaliknya memberi tumpuan kepada gas asli cecair (LNG) dan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber utama dalam campuran tenaga negara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN