KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Lebih 2,100 megawatt (MW) tenaga solar telah diagihkan di bawah program Pengukuran Tenaga Bersih (NEM), sekali gus berjaya mengurangkan bil elektrik isi rumah sehingga 30 peratus.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif tersebut bersama Skim Komuniti Tenaga Solar (SELCO) membuktikan potensi tenaga boleh diperbaharui dalam menjimatkan kos pengguna serta menyokong agenda peralihan tenaga negara.
"Lebih 2,100 MW solar yang diagihkan di bawah NEM telah mengurangkan bil isi rumah sehingga 30 peratus, manakala SELCO pula mempromosikan penggunaan solar secara kolektif bagi kawasan pangsapuri dan pusat perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ministerial Luncheon Talk – Driving the Green Energy Transition anjuran Kumpulan MBSB di M Resort & Hotel, hari ini.
Tambah beliau, pendekatan terhadap tenaga masa depan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengeluaran tenaga, tetapi juga perlu merangkumi model komuniti dan unsur keterangkuman, di mana setiap isi rumah, perniagaan kecil, dan pemain industri mempunyai akses kepada penyelesaian tenaga bersih.