KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Malaysia memerlukan pelaburan berjumlah USD143 bilion menjelang 2050 bagi membiayai pelaksanaan agenda peralihan tenaga bersih secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pelaburan itu penting bagi membiayai projek strategik melibatkan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga, infrastruktur tahan iklim dan mobiliti hijau.
“Peralihan kepada ekonomi bersih bukanlah satu kos, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang. Malaysia memerlukan pelaburan sebanyak USD143 bilion menjelang 2050 untuk menjayakan peralihan ini, manakala negara-negara ASEAN secara keseluruhan memerlukan lebih USD3 trilion.
Maka, pembiayaan yang inovatif dan inklusif amat diperlukan bagi memenuhi sasaran bersama tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Ministerial Luncheon Talk – Driving the Green Energy Transition anjuran Kumpulan MBSB di M Resort & Hotel, di sini, hari ini.
Datuk Seri Fadillah turut menegaskan bahawa pendekatan peralihan tenaga negara perlu berpaksikan realiti semasa, kesaksamaan sosial serta menjamin keselamatan bekalan dan kemampuan pengguna.
Jelas beliau, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjadi tunjang utama yang menyatukan semua inisiatif merentas sektor dalam misi mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, berkata institusi kewangan harus memainkan peranan proaktif dalam mendanai peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Beliau menegaskan keperluan membangunkan instrumen kewangan Islam yang lebih inovatif dan mampan, sejajar dengan permintaan pasaran hijau.
"Pada tahun lalu, MBSB telah menggerakkan pembiayaan berjumlah RM4.75 bilion, merangkumi projek solar terapung, lokomotif rendah karbon dan pusat data mesra alam," ujarnya.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara MBSB dan Cypark Resources Berhad, bagi memperkasa pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta teknologi rawatan sisa kepada tenaga dan infrastruktur mampan.
Program itu dihadiri lebih 200 peserta daripada institusi kewangan, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemegang saham utama serta rakan strategik industri dalam ekosistem tenaga hijau negara.