KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Dalam usaha mengatasi ketidakpadanan kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melaksanakan pembaharuan sistem latihan dan pensijilan yang lebih fleksibel dan sejajar dengan perkembangan industri terkini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menjelaskan, langkah yang dilaksanakan termasuklah semakan semula Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar sesuai dengan perkembangan permintaan pasaran buruh semasa.
"Sehingga Jun 2025, sebanyak 2,012 NOSS aktif tersedia untuk pelaksanaan, manakala sistem latihan disokong oleh 1,619 pusat bertauliah di seluruh negara," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah, Datuk Seri Abdul Rahman, kadar guna tenaga tidak penuh yang melibatkan kemahiran telah berkurangan daripada 37.3 peratus pada tahun 2022 kepada 35.7 peratus pada suku pertama 2025, hasil daripada pendekatan menyeluruh kerajaan melalui pelbagai kementerian.
Melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menawarkan pelbagai kursus dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk kembali menyertai pasaran kerja.
"Pada tahun 2024, seramai 84,231 orang peserta telah dilatih, manakala sehingga 30 Jun 2025, seramai 48,833 orang peserta telah mengikuti latihan dalam pelbagai bidang," katanya.
Pada masa sama, KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut memperkasakan pasaran kerja negara dan mempersiapkan tenaga kerja mahir negara menerusi pelbagai inisiatif.
Ini termasuk penyediaan perkhidmatan pekerjaan negara melalui platform pencarian pekerjaan portal MYFutureJobs, Sistem Career Bridge Tool, Program MYFutureJobs Career Launchpad, Pusat Satelit sebagai lokasi sehenti pencari kerja dan kerjasama strategik bersama syarikat dan institut latihan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasaran serta kompetensi pekerja.
"KESUMA melalui HRDCorp telah melaksanakan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) pada tahun 2025 yang telah menawarkan lebih daripada 72,000 latihan percuma termasuk latihan yang bercirikan kecerdasan buatan, keselamatan siber dan analisa data.
"Lebih kurang 3.5 juta penglibatan daripada warga Malaysia serta ASEAN yang telah mendaftar dan mengikuti latihan-latihan ini yang dijalankan secara fizikal, dalam talian dan hibrid," katanya.