AMPANG, 11 Mac- Polis sudah mengenal pasti semua identiti mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, petang semalam.
Empat mangsa yang maut dikenali sebagai Chong Siew Kim, 85, E Ramasamy, 58, A Mahendran, 36, dan Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37.
Manakala mangsa cedera adalah Cheng Kim Cheng, 85, ditempatkan di Hospital Ampang untuk rawatan susulan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata proses pengecaman semua mangsa maut sudah dilakukan ahli keluarga masing-masing.
"Bagaimanapun, proses bedah siasat mangsa terbabit masih dijalankan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan punca sebenar kejadian tanah runtuh berkenaan tidak berpunca dari sebarang aktiviti haram.
Jelas Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad, buat masa ini siasatan masih dijalankan oleh pihak MPAJ.
(Dr Ani Ahmad pada sidang media di lokasi kejadian)
Katanya, lebih 200 penghuni di 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan kajian terperinci.
"Kita perlu melakukan kajian terperinci berhubung perkara itu kerana dibimbangi pergerakan tanah masih berlaku disebabkan rekahan terbabit.
"Justeru itu, lebih 200 penduduk di 48 rumah berkenaan perlu mengosongkan kediaman mereka bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
"Kita akan bersidang, kita tubuhkan pusat 'ops bencana' supaya dapat merangka strategi lebih teratur bersama semua jabatan terlibat, dari aspek keselamatan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), logistik seperti MPAJ dan juga yang lain-lain seperti Tenaga Nasional Berhad TNB, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan sebagainya," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Ani berkata, pihaknya menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak di lokasi berhampiran.
"Bagaimanapun, tiada penduduk yang tinggal di PPS berkenaan. Mereka memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan.
"Meskipun begitu, PPS berkenaan sentiasa dibuka untuk penduduk yang mahu tinggal sementara di sana," katanya.
Tambah beliau, penghuni rumah yang telah diarah untuk keluar perlu menunggu notis keselamatan bagunan sebelum penduduk dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.
Beliau turut memaklumkan kerja pembersihan tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana perlu melihat aspek kestabilan cerun berkenaan.