GEORGE TOWN, 11 Mac- Selaras pengumuman kerajaan ke arah pembukaan sempadan negara, Pulau Pinang sedang memperhalusi semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, menjelang kemasukan pelancong atau pengembara luar bermula 1 April ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, persiapan rapi mengenainya turut dilakukan dan berharap pelancong atau pelawat yang memasuki negeri ini mengambil tanggungjawab masing-masing untuk memastikan kesemua SOP berkaitan tidak diabaikan bagi mencegah penularan COVID-19.
"Tiga minggu ini diberikan untuk semua pihak memperhalusi ke semua proses dan prosedur berkaitan supaya kemasukan dapat dilaksanakan dengan lancar," kata Chow dalam sidang media selepas mengumumkan penganjuran Penang Harmony Week 2022, dijadualkan bermula pada 14 hingga 21 Mac ini.
Awal minggu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan keputusan pembukaan sempadan negara dibuat berdasarkan tiga perkara asas.
Perkara itu adalah panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.
Pembukaan sempadan juga bakal memanfaatkan sektor ekonomi yang agak terkesan akibat pandemik COVID-19 hampir dua tahun lalu.
(Chow Kon Yeow dalam Sidang Media Penang Harmony Week 2022)