fb fb fb fb fb

KPKT peruntuk RM1 juta bersihkan lokasi tanah runtuh di Ampang

(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ditemu bual selepas membuat tinjauan di Taman Bukit Permai 2, Ampang)

AMPANG, 11 Mac- Peruntukan sebanyak satu juta Ringgit telah diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan kerja pembersihan kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata keseluruhan peruntukan itu akan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam masa terdekat.

"Saya ingin maklumkan komitmen KPKT, kita luluskan RM1 juta untuk kerja pembersihan. Apabila sudah selamat, analisis risiko sudah dikeluarkan pihak berkaitan.. pembersihan boleh dilakukan, katanya selepas melawat dan meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambahnya kerja pembersihan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh terdekat.

Reezal turut menyatakan ucapan takziah kepada seluruh penduduk yang terlibat dengan bencana tersebut.

Kejadian tanah runtuh semalam menyebabkan empat orang terbunuh dan seorang cedera.

Mangsa yang mati dikenal pasti sebagai A. Mahendra, 36; E. Ramasamy, 58; Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34; dan Chong Siew Kim, 85; manakala yang cedera ialah Cheng Kim Cheng, 85 tahun.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak hari ini dan turut memaklumkan kesemua mayat dihantar ke Hospital Ampang dan ahli keluarga juga sudah melakukan pengecaman.


(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika membuat tinjauan di lokasi bencana)

Media Baharu