(Anggota bomba ketika menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian)
AMPANG, 11 Mac- Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang semalam disifatkan fenomena 'delayed deep-seated landslide' iaitu 'tanah runtuh dalam tertangguh' berpunca daripada perubahan dalam proses geologi dan hidrologi di kawasan kejadian.
Menurut Presiden Institut Geologi Malaysia, Abdul Rasid Jaapar kejadian itu adalah fenomena biasa yang berlaku di kawasan tropika.
"Ia bukanlah cerun semula jadi sebenarnya. Ia adalah cerun yang telah dibina, adanya teres-teres sebanyak 11 teres, kalau kita naik ke atas kita dapati juga 'pembrail', perparitan yang telah pecah dan juga mungkin bocor.
"Ini adalah antara punca yang menyebabkan air masuk ke dalam badan cerun.. dan apabila hujan lebat pada hari Isnin dan Selasa lepas, hujan ini memasuki ataupun tipis masuk ke dalam kawasan (body) cerun, dimana .... adanya struktur-struktur yang terluluhawa, menyebabkan proses runtuhan itu dilambatkan sebab itu dia berlaku pada khamis walaupun hujan lebat berlaku pada hari Isnin dan Selasa, katanya kepada wartawan RTM.
(Presiden Institut Geologi Malaysia, Abdul Rasid Jaapar ketika ditemu bual RTM dilokasi kejadian)
Tambahya sebagai langkah proaktif untuk jangka pendek, pengalihan aliran-aliran air dari atas cerun perlu dilakukan supaya air tidak masuk terus ke badan cerun.
"Runtuhan cerun juga perlu ditutup dengan plastik canvas," tambahnya.
Abdul Rasid turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan penduduk dan memantau keadaan cerun di sekitar kawasan perumahan.
"Pada waktu hujan begini, perlu melakukan pemantauan dan juga penyelenggaran lebih kerap lagi supaya parit-parit tidak tersumbat, supaya aliran-aliran air semua dapat berjalan dengan lancar. Kita tidak mahu air masuk dalam jasad cerun dan boleh menyebabkan kekurangan kekuatan tanah dan ini boleh menyebabkan tanah runtuh, jelasnya kepada RTM.
Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang kira-kira 5.54 petang semalam menyebabkan empat nyawa terkorban manakala seorang cedera selain merosakkan 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.