fb fb fb fb fb

Langkah komited gaji minimum pekerja tetap GLC, GLIC RM1,500 -PM

KUALA LUMPUR- 11 Mac- Prihatin dengan cabaran dan kos sara hidup rakyat, kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dibayar gaji sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam konteks berkenaan, kerajaan sebelum ini juga memastikan semua penjawat awam menerima jumlah gaji serta elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan dan diharap syarikat korporat lain turut mengikuti langkah sama.

"Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka GLC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga hari ini mengumumkan penjenamaan semula Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC, GLIC kepada GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) dengan skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

"Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan, manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar," katanya.

(Hari Terbuka GLC 2022 berlangsung 3 hari bermula hari ini sehingga 13 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

Beliau berkata, dengan skop baharu korporat, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat secara lebih teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai kumpulan B40 dan golongan tumpuan tertentu.

"Kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia," katanya.

Ujarnya, bawah skop baharu rangkaian tersebut, Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.













Media Baharu