
SELANGOR, 18 Januari -Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Taman Bukit Teratai, Ampang, Selangor kira-kira pukul 9.19 pagi tadi.
- Runtuhan tanah setinggi 20 kaki berlaku di Taman Bukit Teratai, Ampang tanpa melibatkan rumah atau mangsa.
- Enam anggota bomba dari BBP Pandan Indah tiba untuk pemantauan keselamatan penduduk.
- Operasi dikawal sepenuhnya dengan FRT dan unit EMRS untuk mengelakkan risiko lanjut.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Ameran Muda dalam kenyataan berkata, runtuhan tanah setinggi 20 kaki itu tidak melibatkan sebarang rumah atau mangsa.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah tiba di lokasi pada pukul 9.28 pagi dan telah menjalankan kerja-kerja pemantauan untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit,” katanya menerusi kenyataan itu.
Seramai enam anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi itu.
Operasi dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba bagi memastikan tiada kemalangan atau risiko lanjut kepada penduduk sekitar.