MIRI, 29 Januari- Empat mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di sini masih tertimbus, setakat pada pukul 11.00 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, mereka terdiri daripada wanita berusia 41 dan 71 tahun serta kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia lapan dan 12 tahun.
"Empat mangsa berusia 16 hingga 74 tahun berjaya dikeluarkan pada pukul 6.00 pagi tadi.
"Namun hanya tiga selamat, sementara remaja lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia," katanya menerusi sidang media di sini.
Operasi masih diteruskan menggunakan dua jengkaut untuk mengorek dan mengalihkan tanah runtuhan bagi memudahkan operasi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 pagi tadi, lapan mangsa, terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 12 tahun terperangkap di dalam alam runtuhan selepas dua rumah tertimbus akibat tanah runtuh.
BERITA BERKAITAN: