CAMERON HIGHLANDS, 6 Januari- Seramai 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa dihantar menggunakan trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja susulan kejadian tanah runtuh di jalan besar Kampung Raja, simpang tiga Blue Valley di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Cameron Highlands, Leftenan Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi memaklumkan semua calon tersebut berasal dari kawasan Prima Kampung Raja, Blue Valley dan Lojing.
Mereka tiba di pusat peperiksaan sekitar pukul 7.30 pagi untuk menjalani peperiksaan seperti dijadualkan.
Tanah runtuh yang berlaku pada 3.15 pagi tadi disebabkan hujan lebat berterusan mengakibatkan laluan utama dari arah Simpang Pulai dan Lojing ke Cameron Highlands terhalang di kedua-dua arah.
BERITA BERKAITAN