fb fb fb fb fb

Kada terima RM20 juta baik pulih infrastruktur pertanian terjejas banjir

Banjir bukan sahaja memusnahkan tanaman padi tetapi turut menyebabkan kerosakan infrastruktur sokongan pertanian/Foto fail BERNAMA

KOTA BHARU, 6 Januari - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) telah menerima peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membaiki infrastruktur pertanian yang terjejas akibat banjir di Kelantan baru-baru ini.

Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad, berkata antara kerosakan yang dikenal pasti termasuk pintu kawalan air di Pasir Mas dan Pasir Puteh yang rosak teruk.

Menurut Khalid, banjir yang melanda bukan sahaja memusnahkan sebahagian besar tanaman padi tetapi turut menyebabkan kerosakan pada sistem dan infrastruktur sokongan pertanian.

"Kami perlu mengambil langkah segera, walaupun bersifat sementara, untuk memastikan bekalan air dapat disalurkan ke sawah padi mengikut jadual penanaman musim depan sebelum April," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Media Bersama Pengerusi Kada, di sini malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa jika tindakan segera tidak diambil, bekalan air ke kawasan pertanian seperti Kemubu dan Kasa akan terjejas teruk.

Hari ini, Kada dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Exco Pertanian, Industri, Agromakanan dan Komoditi serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar untuk membincangkan tindakan lanjut.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk pembinaan semula cerucuk penghadang yang roboh akibat banjir.

Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan pembaikan struktur tersebut, namun pada masa yang sama mengarahkan kajian tambahan dilakukan bagi menilai kesan terhadap hakisan sungai.

GRACE AISYAH KEDAYAN