fb fb fb fb fb

Suami isteri maut kemalangan di Bukit Putus

FOTO IPD SEREMBAN

SEREMBAN, 6 Januari- Suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan lain di Jalan Seremban-Kuala Pilah (Bukit Putus), menghala ke Seremban, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Hatta Che Din, dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, mangsa wanita berusia 50 tahun maut di lokasi kejadian manakala suaminya berusia 52 tahun meninggal dunia di hospital.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun sedang bergerak dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua Axia.

"Akibat kemalangan itu, mangsa penumpang hadapan kereta Perodua Axia parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Manakala, pemandu kereta kenderaan sama yang turut parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban," katanya.

Jelas Mohammad Hatta, pemandu serta penumpang kereta Perodua Kancil hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE