fb fb fb fb fb

Tanah mendap: Penghuni kuarters Sekolah Kebangsaan Bandar 2 Paloh Hinai di arah berpindah

Kejadian mendapan yang berlaku kira-kira 9 pagi itu dimaklumkan oleh pihak sekolah.

PEKAN, 7 Januari- Penghuni kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai dekat sini hari ini diarahkan berpindah susulan kejadian tanah mendap berhampiran kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian mendapan yang berlaku kira-kira 9 pagi itu dimaklumkan oleh pihak sekolah.

Sebaik sahaja laporan diterima, penghuni kuarters empat tingkat yang terdiri daripada 24 individu daripada lapan keluarga diarahkan mengosongkan bangunan itu bagi langkah keselamatan.

“Lokasi tanah mendap itu dilihat membahayakan penghuni. Kesemua penghuni telah dipindahkan sementara ke asrama sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan tersebut.

Tambah Mohd Zaidi dalam masa sama penyiasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun juga akan dijalankan secara terperinci bagi tujuan pembaikan kawasan terbabit.

ZEHRA BINTI ZAMBRI