fb fb fb fb fb

ABMS, panduan KSM perkukuh tadbir urus, tangani risiko rasuah

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR, 7 Januari - Penggunaan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) akan menjadi panduan kepada semua jabatan serta agensi bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Dalam satu kenyataan beliau bekata, ia dalam usaha mengukuhkan tadbir urus serta mengenal pasti risiko rasuah dan salah guna kuasa.

Ketika ini inisiatif itu mula diguna pakai di Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

"Pelaksanaan ABMS ini adalah langkah proaktif untuk memastikan kakitangan PTPK mematuhi etika kerja serta menunjukkan komitmen yang tinggi membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Matlamat berkenaan juga selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang mengutamakan integriti dan kecekapan dalam pentadbiran awam," katanya.

Beliau berkata pembangunan ABMS didorong prestasi cemerlang PTPK yang mencatatkan risiko tahap sederhana menerusi penarafan semula risiko oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi 2023.

Selain itu, katanya PTPK selaku pembiaya utama latihan kemahiran negara, terus komited memperkasa agenda pembangunan modal insan negara terutama dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menyediakan pembiayaan bagi menggalakkan masyarakat mengikuti bidang kemahiran.

Beliau berkata PTPK sentiasa cakna dan memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan yang terbaik dan sekali gus menyokong kepada pemacu perubahan Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menambah baik ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia pada masa hadapan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Sim mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat PTPK di ibu negara baru-baru ini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Eksekutif PTPK Mohd Fathullah Mustafa.

TETITIA YUSOFF