fb fb fb fb fb

Tanah jerlus: Enam lurang kumbahan dibuka - Polis

Keluarga mangsa berada di sekitar lokasi kejadian di Jalan Masjid India hari ini (Rakaman CCTV kejadian mangsa terjatuh dalam tanah jerlus)

KUALA LUMPUR, 24 Ogos- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini diperluas dengan enam lurang kumbahan atau 'manhole' akan dibuka.

Setakat pukul 5.00 petang tadi, sebanyak empat 'manhole' telah dibuka namun pasukan penyelamat masih tidak menemukan sebarang tanda atau jejak lokasi mangsa.

Ketua Polis Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman berkata enam lokasi 'manhole' berkenaan adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian di Lebuh Pasar dan Bulatan Kinabalu.

"Pagi tadi 'manhole' pertama depan Wisma Yakin telah dibuka, bomba hantar seorang anggota masuk ke bawah, malangnya tidak jumpa sebarang petunjuk mangsa.

"(Oleh itu) kita dalam tindakan pencarian di 'manhole' (seterusnya). Kita doakan ada petunjuk sehingga mangsa ditemukan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Sulizmie berkata kawasan sekitar Jalan Masjid India masih selamat untuk dikunjungi oleh orang ramai setakat ini.

Namun beliau menasihatkan pengunjung agar mengehadkan pergerakan terutama di lokasi kejadian bagi mengelak risiko terhidu gas beracun yang mungkin keluar daripada lurang kumbahan.

"Pada masa yang sama, kami menasihatkan peniaga untuk menutup perniagaan mereka buat sementara waktu, bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan yang berpotensi disebabkan oleh kebocoran gas dari lurang di sepanjang laluan aliran air," katanya.

Sulizmie berkata pasukan SAR juga telah menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) semalam namun masih tiada petunjuk lokasi mangsa.

Dalam pada itu, tinjuan pemberita RTM mendapati ahli keluarga mangsa yang merupakan seorang pelancong wanita dari India, turut berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun polis menasihati pihak media agar tidak mendekati keluarga mangsa bagi menghormati privasi serta emosi mereka.

Semalam, media melaporkan mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter pada kejadian 8.22 pagi.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA