fb fb fb fb fb

Ziarah Asnaf: Menteri santuni lima sekeluarga tinggal pondok usang

Menteri Agama menyantuni keluarga asnaf - Mohd Khairul Azman Jamaludin, 30, bersama isterinya Siti Nur Fazirah Juhaimi, 23, dan tiga anak mereka, telah tinggal di pondok itu sejak sebulan lalu/Foto MAIWP

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menziarahi golongan asnaf di sekitar Kampung Semarak dan Taman Setapak Jaya menerusi Program Ziarah Asnaf Siri ke-6 tahun ini.

Program tersebut bertujuan untuk mendekati golongan asnaf serta menilai keberkesanan bantuan yang disalurkan oleh MAIWP kepada penerima yang memerlukan.

Beliau berkata, program seperti ini bukan sahaja membolehkan beliau melihat sendiri keadaan hidup asnaf, malah turut memberi peluang kepada MAIWP untuk menyampaikan maklumat mengenai bantuan lain yang boleh dipohon oleh golongan tersebut.

"Semoga Program Ziarah Asnaf ini akan diteruskan dan dapat meningkatkan keyakinan para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan kewajipan mereka melalui PPZ MAIWP.

"Saya memberi jaminan bahawa semua zakat yang diterima akan disalurkan sepenuhnya kepada mereka yang benar-benar berhak," katanya ketika ditemui selepas program ziarah tersebut hari ini.

Dalam ziarah itu, beliau berkesempatan melawat tiga buah rumah di sekitar Kuala Lumpur, yang mana setiap rumah mempunyai keperluan berbeza mengikut tahap kehidupan masing-masing.

Antaranya menyantuni dua penerima lain di kawasan Setapak Jaya di sini, iaitu warga emas Abd Razak Rejab, 65, serta orang kurang upaya (OKU) Eza Farriz Zaini, 38, yang turut mempunyai seorang anak OKU, Adam Haikal Eza Farriz yang berumur 19 tahun.

Beliau turut menyantuni sepasang suami isteri dan tiga anak mereka yang tinggal di sebuah pondok usang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini.

Program Ziarah Asnaf yang dianjurkan MAIWP ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan menerima bantuan yang sewajarnya bagi meringankan beban kehidupan mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN