fb fb fb fb fb

Tan Sri Razarudin sah tamat kontrak Ketua Polis Negara 22 Jun ini

Foto Bernama

KUALA PILAH, 15 Jun - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan beliau tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat pada pada 22 Jun ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memenuhi hasrat ibunya.

"Sepatutnya saya habis kontrak, saya tak perlu sambung. Bila ibu saya berhasrat macam tu, saya pun akur. Saya hidup 68 tahun dengan dia, jadi dari sebutan mulut ibu itu satu doa yang saya tak berani ingkar," beliau berkata pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang, di sini.

Tambahnya, program tersebut merupakan program terakhir beliau sebagai Ketua Polis Negara dan memaklumkan, majlis serah terima tugas dijadual berlangsung pada 20 Jun ini

Turut hadir, Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof; Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan.

Beliau juga menjelaskan, permintaan ibunya itu telah disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak perlulah saya sambung kontrak lagi, cukup dua tahun saya sebagai Ketua Polis Negara, sudah sampai masa ada pengganti,” tambahnya.

Tan Sri Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM