fb fb fb fb fb

Malaysia pertahan hak kedaulatan setiap negara, termasuk Iran - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 peringkat Perak di Lumut / Foto BERNAMA

LUMUT, 15 Jun - Malaysia kekal konsisten pertahankan hak kedaulatan setiap negara dan menolak sebarang bentuk pencerobohan terhadap negara lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan sebagai negara merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak menyuarakan pendirian menyokong negara sahabat yang dizalimi, termasuk Iran.

Jelasnya, Malaysia tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar dalam hal ehwal antarabangsa, malah tegas mempertahankan hak negara yang diserang secara tidak adil.

"Sebab itu saya beritahu dengan rakan dalam jemaah menteri, Malaysia ini biarlah ada keupayaan. Kita negara merdeka, kita mesti pertahankan hak sahabat termasuk Iran yang telah dizalimi dan kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahan maruah negara mereka." beliau berucap dalam Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat Perak di Lumut.

Jumaat lepas, Israel melancarkan beberapa siri serangan terhadap wilayah Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ