LUMUT, 15 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan untuk beberapa projek infrasktruktur di Pangkalan Tentera Laut Malaysia (TLDM) Lumut yang diluluskan tahun ini demi kesejahteraan warga pasukan keselamatan itu.
Katanya, sebanyak RM65 juta diperuntukkan bagi membina sebuah kompleks klinik pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera (ATM), di pangkalan itu.
Selain itu, antara projek lain yang turut diluluskan ialah projek naik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV) dengan peruntukan RM100 juta, penggantian tangki operasi Bulk Fuel Installation (BFI) dengan peruntukan RM23.3 juta dan naik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut dengan peruntukan RM66.5 juta.
“Yang ini (kompleks klinik pakar dan menaik taraf Hospital ATM Lumut) saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri yang ada di sini, supaya segera dilaksanakan. Peruntukan telah kita luluskan, juga tambah baik lain yang kita buat untuk kesejahteraan warga TLDM,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga TLDM Lumut sempena Program MADANI Rakyat 2025 Perak, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Panglima Tentera Laut, Datuk Zulhelmy Ithnain di sini, hari ini.