fb fb fb fb fb

Tan Sri Dr Johari terima kunjungan Ketua MPR Indonesia, Ahmad Muzani

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul (kanan) dan Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI), Ahmad Muzani di Parlimen Malaysia hari ini/Foto FB Dato' Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI), Ahmad Muzani, hari ini.

Pertemuan tersebut mencerminkan hubungan erat antara Parlimen Malaysia dan Indonesia yang terus kukuh dalam kerangka kerjasama serantau ASEAN.

Menerusi kenyataan rasmi parlimen, kedua pemimpin turut membincangkan usaha memperkasa diplomasi parlimen sebagai wadah mempererat hubungan rakyat dan memperkukuh kemakmuran serantau.

Beliau turut berharap Indonesia dan Malaysia dapat bekerjasama dalam membangun kepimpinan belia ASEAN melalui pelbagai platform.

Antaranya, program pertukaran belia dan inisiatif kepimpinan rentas sempadan agar barisan kepimpinan muda ASEAN bersedia menghadapi cabaran global.

Selain itu, TYT Ahmad Muzani turut memberi perkembangan terkini mengenai pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan.

Tan Sri Dr Johari menzahirkan keyakinan bahawa projek tersebut akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi untuk Indonesia, serta membuka ruang kerjasama baharu yang bermanfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Pertemuan ini turut menjadi landasan awal kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua parlimen menjelang kepimpinan Malaysia dalam Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 pada 17 hingga 22 September nanti.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI