KUALA LUMPUR, 21 Julai – Semua penyedia perkhidmatan “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (BNPL) akan diwajibkan menjalankan penilaian keupayaan kewangan pengguna terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang bentuk pembiayaan, selaras dengan rangka kerja kawal selia baharu yang bakal dikuatkuasakan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Langkah tegas itu diumumkan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, bagi mengekang peningkatan hutang tidak terkawal yang kini banyak melibatkan golongan rentan kewangan, terutama mereka yang terdedah kepada pinjaman kecil tetapi kerap.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemberi kredit mereka mesti membuat analisa sama ada peminjam itu boleh mampu membayar balik jika dia rasa peminjam itu tidak langsung ada potensi untuk bayar balik mereka tentu tidak akan memberi kredit kepada mereka ” katanya.
Lim berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan ketat terhadap pematuhan syarikat BNPL terhadap syarat penilaian itu akan dilaksanakan bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang bentuk pembiayaan yang membebankan.
Tambahnya, penyedia BNPL turut diwajibkan untuk mendedahkan dengan jelas semua terma pinjaman, termasuk caj tersembunyi, fi tambahan dan kadar bayaran, sebelum pengguna bersetuju membuat transaksi.
Selain itu, kerajaan juga menekankan kepentingan literasi kewangan agar rakyat lebih bijak mengurus kewangan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara berlebihan.
Pasaran BNPL di Malaysia kini menunjukkan pertumbuhan pesat dengan 16 syarikat beroperasi, termasuk SPay Later, Atome dan GrabPay Later yang menguasai lebih 95 peratus bahagian pasaran.