fb fb fb fb fb

Tan Sri Azam ikrar terus banteras rasuah, tingkatkan skor CPI negara

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan melantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang berkuat kuasa esok hingga 12 Mei 2026.

Dalam kenyataan rasmi, Tan Sri Azam menyifatkan perkenan tersebut sebagai satu penghormatan besar, bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga seluruh warga SPRM.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah membanteras rasuah di negara ini.

“Saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, demi membina negara yang makmur dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut menegaskan komitmen SPRM untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI