MEKAH, 12 Mei - Ketetapan Kerajaan Arab Saudi berhubung peraturan dan kawalan ketat pada musim haji 1446 Hijrah kali ini disambut baik oleh jemaah haji Malaysia.
Ini termasuk penguatkuasaan lebih ketat kepada mereka yang memiliki visa haji sah sahaja dibenarkan menunaikan ibadah haji.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata langkah tersebut, secara tidak langsung meningkatkan kualiti pengurusan haji pada musim ini.
"Dari segi logistik dan pengangkutan, trafik di sekitar bandar raya Mekah ini lebih teratur, tidak sesak dan kita tidak nampak kesesakan seperti tahun-tahun sebelum ini. Rata-rata jemaah haji Malaysia memuji peraturan baru dan peraturan ketat ini.
"Ia telah membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan lebih selesa... Alhamdulilah", katanya dalam sidang media mingguan di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.
Setakat ini, sebanyak 39 penerbangan dari Malaysia telah selamat tiba di Madinah membabitkan 11,396 jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci.
Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Hairul Izwan Abdul Rahman memaklumkan seramai 2,059 jemaah mendapatkan rawatan di klinik.
Penyakit berkaitan jangkitan saluran pernafasan, penyakit kulit, sakit tekak, sakit otot dan sakit perut antara simptom yang dialami jemaah semasa mendapatkan rawatan.
"Sebanyak 54 peratus itu, dalam kalangan jemaah haji lelaki, manakala selebihnya perempuan. Jadi pada masa ini, semuanya dalam keadaan stabil", katanya.