KEMAMAN, 12 Mei – Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar kematian haiwan liar di jalan raya menerusi pelbagai usaha termasuk memperluas kawasan hutan simpan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan juga telah membina lintasan hidupan liar di lokasi strategik dan akan menambah jumlah papan tanda Diod Pemancar Cahaya (LED) di kawasan yang sering dilalui gajah untuk meningkatkan kesedaran pemandu.
“Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) daripada RM60 juta setahun kepada RM150 juta pada 2023, RM200 juta pada 2024, dan RM250 juta untuk tahun ini".
"Dana tersebut disalurkan kepada kerajaan negeri untuk menambah kawasan hutan simpan", katanya di sini.
Dalam pada itu, katanya, jumlah santuari gajah di seluruh negara akan turut ditambah, termasuk di Terengganu, Perak, Pahang dan Johor, dengan fasiliti di negeri selatan itu kini dalam pembinaan.
Mengulas mengenai kadar kematian haiwan liar yang melibatkan jalan raya, beliau memaklumkan, sebanyak 2,361 ekor haiwan liar direkodkan mati akibat dirempuh kenderaan di jalan raya sejak tahun 2020 hingga Mei tahun ini.
Katanya, lima negeri mencatatkan angka kematian tertinggi melibatkan haiwan liar termasuk Pahang (765), Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187).
Tambah beliau, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak lapan ekor gajah telah mati akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh lima tahun, termasuk tiga ekor yang mati tahun ini yang terbunuh di jalan raya.
Kematian terbaharu seekor anak gajah dilaporkan semalam dirempuh sebuah lori membawa muatan ayam di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.
Kejadian tersebut juga tular di media sosial apabila seekor ibu gajah dilihat setia menunggu bangkai anaknya di lokasi kejadian.
Beliau berkata demikian kepada media selepas memantau Operasi Gerak Kenderaan Bermotor bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Jakar, Kemaman, hari ini.