fb fb fb fb fb

Tambahan RM5 juta kepada perkampungan India

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika berucap pada Majlis MADANI Deepavali@KPKT 2025/BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Oktober - Sebanyak RM5 juta tambahan diperuntuk bagi menyediakan infrastruktur awam di perkampungan India di negara ini.

Ini termasuk penurapan jalan, perparitan, lampu solar dan dewan orang ramai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata selepas lebih 60 tahun tanpa sebarang peruntukan khas, kerajaan MADANI meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu untuk pembangunan perkampungan India.

“Buat pertama kali dalam sejarah, KPKT diberi amanah menjaga semua perkampungan India. Sudah 60 tahun tiada peruntukan khas, kini kita tambah lagi RM5 juta untuk infrastruktur jalan, perparitan, lampu solar dan dewan orang ramai,” katanya.

Beliau menegaskan langkah itu selaras dengan prinsip kerajaan MADANI yang memastikan tiada komuniti terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Sementara itu, sambutan Deepavali peringkat kementerian mencipta sejarah tersendiri apabila diraikan secara rasmi buat julung kalinya.

Penganjuran berkenaan menzahirkan semangat Malaysia MADANI yang meraikan kepelbagaian kaum dengan berlandaskan nilai ihsan, hormat dan kekitaan.

“Kita meraikan Deepavali sebagai perayaan bercahaya, meninggalkan kegelapan dan menyambut sinar harapan baharu untuk diri, keluarga dan negara,” katanya semasa majlis sambutan MADANI Deepavali@KPKT di Putrajaya.

Majlis penuh warna itu diserikan dengan persembahan tarian klasik India, juadah tradisional serta penglibatan pelbagai kaum yang mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ