KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa semua pihak agar tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian kes tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat serta menjejaskan siasatan yang sedang
dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya," katanya.
Tegas MCMC, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tragis terbabit.