fb fb fb fb fb

Reformasi kewangan, ketahanan iklim penting capai AIR2040

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah Persatuan Air Malaysia (MWA) Ke-37/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Reformasi kewangan dan pengukuhan daya tahan terhadap perubahan iklim dalam sektor air negara, merupakan langkah penting bagi melaksanakan agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cabaran seperti kemampanan kewangan, peningkatan permintaan bandar dan industri, serta kesan perubahan iklim perlu dijadikan pemangkin kepada inovasi, reformasi dan kerjasama lebih erat dalam sektor berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, reformasi kewangan perlu dijadikan keutamaan dengan mewujudkan rangka kerja pembiayaan yang adil dan mampan, seimbang antara kemampuan rakyat dengan penyedia perkhidmatan.

"Kita perlu mewujudkan rangka kerja pembiayaan yang adil dan mampan, yang mengimbangi kemampuan rakyat dengan kekuatan kewangan penyedia perkhidmatan. Struktur tarif perlu mencerminkan kos sebenar, sambil memastikan golongan rentan dilindungi melalui mekanisme sokongan yang telus dan disasarkan.

"Selain penetapan harga, pembiayaan mampan juga bermaksud membina ekosistem kewangan yang berdaya tahan yang dapat menarik pelaburan swasta, menggalakkan inovasi, dan memastikan setiap ringgit dibelanjakan disalurkan kepada penciptaan nilai jangka panjang, " katanya ketika menyampaikan ucaptama Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah ke-37 Persatuan Air Malaysia (MWA) di ibu negara.

Turut hadir, Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta wakil industri air negara.

Datuk Seri Fadillah turut menekankan bahawa kejayaan AIR2040 bukan sahaja bergantung kepada inisiatif kerajaan, tetapi juga kepada ekosistem kerjasama melibatkan kerjasama semua pihak.

Ini termasuk awam dan swasta serta agensi seluruh negara dalam memberikan hala tuju dasar yang jelas.

Mengenai tekanan iklim dan alam sekitar, Datuk Seri Fadillah berkata pelaburan dalam daya tahan iklim perlu dipertingkatkan termasuk perlindungan kawasan tadahan air, pemodenan infrastruktur bagi mampu menghadapi cuaca ekstrem, pengurangan air tidak berhasil (NRW) dan amalan air kitaran seperti penggunaan semula dan kitar semula air.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ