fb fb fb fb fb

Jangkitan influenza di Pulau Pinang, terkawal

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. / BERNAMA

GEORGETOWN, 14 Oktober - Bilangan kluster influenza dan jangkitan saluran pernafasan di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh seminggu.

Jumlahnya naik daripada 10 kluster pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 kepada 36 kluster pada minggu ke-41, iaitu antara 5 hingga 10 Oktober 2025.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata walaupun berlaku peningkatan mendadak dalam tempoh seminggu, situasi masih terkawal.

Tiada kematian dilaporkan dan tiada mutasi baharu dikesan.

"Semua kluster ini dalam keadaan terkawal. Kluster-kluster ini melibatkan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga IPT," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Pusat Kawalan Bencana Negeri di Komtar.

Orang ramai yang bergejala dinasihatkan berehat di rumah dan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan jangkitan di tempat awam seperti sekolah.

Mengulas mengenai banjir di Pulau Pinang, Kon Yeow memaklumkan setakat ini sebanyak 53 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir, berdasarkan rekod kejadian dalam tempoh tiga tahun lalu.

Jelas beliau, daripada peruntukan sebanyak RM2 juta untuk bantuan banjir hanya RM270,000 telah dibelanjakan setakat ini.

"Kerajaan negeri memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan komuniti menghadapi risiko bencana dengan menaik taraf Bilik Gerakan Negeri Pulau Pinang menjadi Pusat Kawalan Bencana Negeri." katanya.

Bertempat di Komtar Bilik Gerakan tersebut berperanan sebagai pusat kawalan operasi utama bagi penyelarasan maklumat dan tindakan semasa bencana di peringkat negeri.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID