KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kekal komited memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan keperluan menerusi tindakan penguatkuasaan yang tegas dan berterusan.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh, berkata sebanyak 721,248 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan terakhir bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Pemeriksaan itu merangkumi pelbagai peringkat rantaian bekalan termasuk di bawah Op Pantau, Op Kesan, serta Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), selain pemantauan terhadap pematuhan peraturan tanda harga oleh peniaga.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 3,344 kes telah dihasilkan dengan nilai kompaun dan denda mencecah RM414,125,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan berterusan itu berjaya membendung kenaikan harga mendadak, terutama membabitkan barangan keperluan utama, serta memastikan bekalan mencukupi ketika musim perayaan yang mencatat permintaan tinggi.
Datuk Fuziah turut memaklumkan bahawa 2,475 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara ditugaskan menjalankan pemeriksaan berkala dan proaktif berdasarkan aduan orang ramai.
Pada masa sama, kementerian menggerakkan Program Pengedaran Barang Perlu (PBPP) bagi menyelaraskan harga barangan di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Inisiatif itu memastikan rakyat luar bandar tidak terbeban dengan harga tinggi akibat kos logistik.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan menyalurkan aduan berkaitan ketidakpatuhan peniaga melalui portal e-aduan, WhatsApp, atau aplikasi Ez ADU.