fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 bukti komitmen kerajaan pastikan Islam kekal subur

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan. / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Belanjawan 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan untuk memastikan Islam kekal subur dan menjadi tunjang pembangunan negara.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, belanjawan MADANI bukan sekadar angka dan unjuran tetapi manifestasi nilai Islam yang menekankan keadilan, keseimbangan dan tanggungjawab sosial.

"Ia seiring dengan apa yang disebut Perdana Menteri dalam Belanjawan, beliau ada menyebut tentang beberapa inisiatif baru untuk memperkemaskan lagi kewangan dan ekonomi Islam.

"Mungkin Malaysia di antara satu-satunya negara yang memperuntukkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan ekonomi Islam dan juga kewangan Islam.

"Jadi tahun ini ada beberapa inisiatif yang telah dilancarkan, telah diumumkan Perdana Menteri dari segi aspek produk inovasi dan juga meneroka inovasi-inovasi baru bagi memenuhi keperluan masyarakat dan komuniti malaysia dan juga barangkali di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Global Shariah Majlis 2025 di ibu negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat memaklumkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada RM15 bilion.

Ini berbanding RM13 bilion pada 2025 yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

Kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID