fb fb fb fb fb

Tambahan 50,000 unit beri peluang lebih ramai pelajar miliki PerantiSiswa

PENGKALAN CHEPA, 28 Oktober- Tambahan 50,000 unit peranti telah dibuat bagi memberi peluang lebih ramai pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta mendapatkan kemudahan peranti siswa tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata tambahan peruntukan sebanyak RM65 juta di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu juga bagi memberi peluang kepada pelajar yang membuat rayuan sebelum ini selepas permohonan mereka ditolak.

"Konsepnya kita nak bagi seberapa ramai pelajar supaya mendapat peranti, kita ada peranti yang cukup...tiga hari lepas saya telah mengarahkan KSU untuk menambah tempahan daripada tender yang ada untuk tambah 50,000 unit dengan perbelanjaan lebih kurang RM65 juta, kita meletak supaya bekalan tak akan putus putus. Juga mengambil kira kes-kes rayuan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

(Tan Sri Annuar Musa)

Mengulas mengenai kes rayuan peranti siswa, Annuar menasihatkan pemohon untuk berjumpa dengan persatuan pelajar atau pusat pengajian mereka bagi mengemukakan rayuan dengan memberi bukti atau sebab rayuan perlu dipertimbangkan.

"Mereka boleh buat boleh hingga akhir tahun, dan sekarang buka rayuan 'online' dan secara 'manual'. Ada juga yang berjumpa dengan pemimpin masyarakat dan pemimpin masyarakat rujuk kepada saya pun boleh, kita buka seluas-luasnya ruang rayuan asalkan mereka layak atau kes tertentu yang boleh diberi pertimbangan," jelasnya.

Isu penjualan PerantiSiswa harap diselesaikan segera

Sementara itu, Annuar berharap isu penjualan semula tablet peranti siswa membabitkan 14 pelajar dapat diselesaikan.

Jelas beliau, sebahagian daripada pelajar terbabit sudah pun membatalkan hasrat untuk menjual tablet yang diterima.

"Isu itu tidak payah berpanjangan sebab mereka lebih faham sekarang, yang penting tiada kes baharu menjual peranti...yang hari itu pun sudah maklum pada kita dan batalkan penjualan.

"Ada satu dua yang sudah jual itu ada, itu pun peranti kena sekat...kita tahu peranti itu tidak akan berfungsi lagi...jadi pembeli pun kita nasihat jangan beli nanti rugi.

"Sebab kes pun terlalu kecil bilangannya, nasihat itu lebih baik dari tindakan sebab kita beri kepercayaan penuh kepada pelajar-pelajar," tambah beliau.

Media Baharu