BUTTERWORTH, 11 Jun - Teras yang mengasaskan Kerajaan Madani adalah berlandaskan panduan daripada al-Quran.
Oleh itu sebarang dakwaan bahawa kerajaan yang ada sekarang mengenepikan ajaran Islam adalah satu fitnah jahat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen kerajaan adalah jelas dengan penambahan peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Tapi untuk menyatakan bahawa kami telah meninggalkan Islam itu satu fitnah jahat. Apa yang kita lakukan dengan Menteri Agama baru ini adalah dengan menambah peruntukan JAKIM.
"Saya juga telah mengarahkan peranan mufti, ulama dan tokoh di JAKIM selari dengan perkembangan melaksanakan pembaharuan insitusi, mengangkat martabat kerajaan Madani serta negara," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H/2023 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena, di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengajak umat Islam untuk memanfaatkan mukjizat al-Quran dengan membicarakan soal kemampanan dan sistem nilai yang dianjurkannya tanpa mempertahankan sesuatu yang bertentangan.
Katanya, wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap inisiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al-Quran secara tidak tepat.
"Sebab itu saya membicarakan soal wacana yang ada dalam Al-Quran itu dalam menjawab tohmahan dengan hujah yang kuat. Ini dilakukan dengan mencabar orang yang membawa idea-idea menyanggah kitab suci itu untuk memastikan kita melakar ataupun menzahirkan sesuatu yang baik.
"Maka dalam negara kita dalam hal-hal yang sedemikian sepatutnya kita pertahankan akhlak dan nilai termasuk dalam keadaan kita berbeda pandangan," katanya.