fb fb fb fb fb

Tambah baik Program Jualan Rahmah - Armizan

FOTO FAIL

PAPAR, 1 Januari - Program Jualan Rahmah akan ditambah baik dalam usaha membantu rakyat mendapatkan keperluan harian pada harga yang rendah sekali gus dapat mengurangkan beban dan membantu rakyat khususnya golongan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan peruntukan Belanjawan 2024 RM200 juta, KPDN yakin usaha menambah baik itu akan memberi impak positif kepada rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, antara penambahbaikannya ialah dengan meluaskan di setiap kawasan parlimen yang melibatkan penambahan komponen barangan basah dari pasar-pasar tani untuk dipasarkan ke Program Jualan Rahmah.

"Untuk tahun 2024 kita telah menerima peruntukan tambahan untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah, jumlah yang diperuntukkan melalui Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM200 juta untuk kita memperhebatkan lagi program ini diseluruh peringkat.

"Kerana berdasarkan kepada pelaksanaan Program Jualan Rahmah pada tahun 2023 kita melihat program ini amat berkesan dan mendapat maklum balas yang cukup baik daripada masyarakat dalam mana-mana siri program jualan rahmah yang kita anjurkan," kata Armizan ketika ditemui pemberita dalam Program Jualan Rahmah yang diadakan di Dewan Terbuka Masyarakat Papar, di sini.

Tambah beliau, bermula Januari ini KPDN akan membuat hebahan penjadualan Program Jualan Rahmah dengan lebih awal melalui laman web KPDN bagi membantu rakyat merujuk informasi lokasi dan masa yang sesuai.

Dalam pada itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut menghadiri Pertandingan Festival Kompang Parlimen P.175 Papar di Dewan Terbuka Masyarakat Papar.

Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada enam kumpulan kompang sebagai bantuan untuk meningkatkan lagi budaya kesenian kompang di sini.

TETITIA YUSOFF