Kemerdekaan yang diwarisi, siapa pejuang kemerdekaan hari ini?

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlembagaan dan Rukun Negara mesti menjadi paksi kehidupan bernegara, bukan sekadar prinsip dihafal atau dilafazkan dalam majlis rasmi.
  • Perpaduan perlu dijaga; ancaman dalaman timbul apabila undang-undang dipandang ringan dan kepentingan kelompok mengatasi kepentingan bersama.
  • Pendidikan kenegaraan mesti seiring penguatkuasaan supaya kesilapan seperti pemasangan Jalur Gemilang terbalik difahami punca, bukan terus dihukum.
  • Pejuang kemerdekaan hari ini ialah setiap rakyat yang menghormati Perlembagaan, menjunjung Rukun Negara, mematuhi undang-undang dan meraikan perbezaan.

Kemerdekaan bukan mudah diraih. Ia lahir daripada perjuangan generasi terdahulu yang memilih untuk bersatu, mempertahankan hak dan membina sebuah negara yang bebas dan berdaulat.

Bukan mudah juga untuk memastikan kemerdekaan itu terus utuh dalam genggaman kita.

69 tahun kemerdekaan bukan sekadar catatan sejarah, tetapi warisan tidak ternilai yang menuntut semangat, jati diri dan rasa tanggungjawab.

Namun, warisan tidak bermakna jika sekadar dikenang setiap kali tibanya 31 Ogos.

Persoalannya, siapa pula pejuang kemerdekaan hari ini?

Kita mungkin tidak lagi berdepan penjajahan seperti generasi terdahulu. Tetapi negara merdeka tetap boleh dilemahkan dari dalam apabila perpaduan dipertaruhkan, undang-undang dipandang ringan dan kepentingan kelompok mengatasi kepentingan bersama.

Sebab itu, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara mesti terus menjadi paksi kehidupan bernegara.

Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip yang dihafal atau dilafazkan dalam majlis rasmi. Ia mengajar kita menghormati Raja dan Negara, menjunjung Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang serta mengamalkan kesopanan dan kesusilaan.

Cabaran terhadap nilai ini boleh kita lihat melalui perkara yang kelihatan kecil, tetapi sebenarnya membawa makna besar.

Lihat sahaja Jalur Gemilang.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, isu bendera negara dipasang secara terbalik sering mencuri perhatian. Terbaharu di Johor, tiga kes dilaporkan dengan lima individu ditahan bagi membantu siasatan. Sebuah premis perindustrian di Kulai turut ditutup sementara, selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Bagi sesetengah pihak, mungkin ia sekadar kesilapan memasang bendera. Tetapi Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain. Ia lambang kedaulatan, identiti dan maruah sebuah negara.

Dalam masa yang sama, jangan setiap kesilapan terus dihukum dengan andaian. Ada yang mungkin disengajakan, namun ada juga yang berpunca daripada kekhilafan atau ketidaktahuan.

Sebab itu, pendidikan kenegaraan perlu berjalan seiring dengan penguatkuasaan.

Perjuangan kita hari ini mungkin tidak memerlukan senjata, tetapi menuntut sesuatu yang tidak kurang penting, iaitu menjaga perpaduan.

Malaysia dibina oleh rakyat yang berbeza kaum, agama, budaya dan pandangan. Kekuatan kita bukan pada keseragaman, tetapi keupayaan untuk hidup bersama dalam perbezaan.

Kita boleh berbeza pandangan. Tetapi apabila menyentuh soal kedaulatan negara, Perlembagaan, keselamatan dan perpaduan, kepentingan Malaysia mesti diletakkan di hadapan.

Begitu juga dengan undang-undang.

Sikap “undang-undang hanya penting apabila menguntungkan kita” perlu diperbetulkan.

Bila orang yang kita sokong dikenakan tindakan, kita persoalkan. Bila orang yang kita tidak suka dikenakan tindakan, disambut sorakan.

Undang-undang tidak seharusnya dihormati berdasarkan siapa yang dikenakan tindakan, tetapi kerana ia menjadi asas kepada sebuah negara yang berdaulat.

Begitu juga hak kebebasan bersuara. Kebebasan bukan lesen untuk memfitnah, menghasut atau membakar kebencian.

Kita perlu menjaga sensitiviti 3R, Raja, agama dan kaum. Bukan untuk menyekat perbezaan pandangan, tetapi memastikan perbezaan tidak dieksploitasi sehingga menggugat keharmonian negara.

Dan di sinilah tanggungjawab kita kepada generasi muda.

Kita tidak boleh hanya mengharapkan mereka menghafal tarikh 31 Ogos, mengenali tokoh kemerdekaan atau menyanyikan lagu patriotik.

Mereka perlu memahami mengapa Perlembagaan dihormati, mengapa Rukun Negara diwujudkan dan mengapa perpaduan menjadi asas kepada masa depan Malaysia.

Jadi, siapa pejuang kemerdekaan hari ini?

Bukan hanya anggota keselamatan.

Bukan hanya pemimpin.

Bukan hanya tokoh sejarah.

Setiap rakyat yang menghormati Perlembagaan, menjunjung Rukun Negara, mematuhi undang-undang, meraikan perbezaan, menjaga perpaduan dan menolak perkara yang boleh melemahkan negara, dialah pejuang kemerdekaan hari ini.

Kemerdekaan yang diwarisi bukan sekadar sejarah untuk dikenang, tetapi amanah untuk diteruskan.

Generasi terdahulu telah menyalakan obor perjuangan. Kini, obor itu berada di tangan kita.

Persoalannya, apakah kita sekadar mahu menikmati cahaya kemerdekaan, atau bersedia memastikan nyalanya tidak pernah padam untuk generasi akan datang?

Kerana kemerdekaan yang diwarisi adalah amanah hari ini, dan masa depan yang kita tinggalkan adalah ukuran perjuangan yang kita pasakkan.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Salwa Yusop.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.