DOHA, 13 Mei - Semua pihak perlu memainkan peranan, mencari penyelesaian bagi mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara-negara sepemikiran perlu bekerjasama bagi merealisasikan impian tersebut.
Beliau berkata, konflik di Asia Barat dibincangkan secara mendalam ketika menghadap Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena lawatan rasmi beliau ke Qatar.
Pertemuan turut menyentuh mengenai kerjasama dua hala dan usaha mempermudahkan pelaburan serta pendidikan tinggi.
Perkara itu juga dibincangkan ketika pertemuan Datuk Seri Anwar bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani.
Kedua-dua pemimpin sepakat, kerjasama pelaburan di antara Malaysia-Qatar perlu terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
Terdahulu, Anwar diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Qatar sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat itu.
Beliau tiba di dewan pemerintahan negara Qatar pada 10.30 pagi waktu tempatan disambut Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Datuk Seri Anwar kemudiannya mengadap Sheikh Tamim di pejabat baginda sebelum bertemu rakan sejawatnya Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.
Lawatan Perdana Menteri itu yang memenuhi undangan baginda, disifatkan signifikan, sempena ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Doha.