KLUANG, 14 Februari- Kawasan luar bandar di Johor mempunyai kelebihan untuk dipromosi sebagai produk pelancongan dan berupaya menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhamad Nasir Pahmi berkata pelancong perlu meneroka lokasi eko pelancongan negeri itu kerana memiliki keunikan tersendiri.
Katanya, Kluang antara daerah berpotensi untuk dipromosi kerana memiliki lokasi agro pelancongan popular, taman eko rimba dan berhampiran dengan taman negara Endau-Rompin.
Ia boleh menjadi tempat tumpuan keluarga kerana lokasinya yang menawarkan pelancongan didikan kepada kanak-kanak dan pelajar yang berminat mendalami bidang pertanian serta penternakan.
"Dari segi potensi uuntuk pasaran di sini bagi saya adalah amat amat positif dan boleh dikatakan ia seperti 'hidden gems' untuk produk domestik pelancongan negara," katanya.
(Muhamad Nasir Pahmi)
Beliau berkata demikian selepas majlis pengisytiharan Malaysia Book Of Records, Cattle Queen Park sebagai Taman Ruminan Pertama di Malaysia, di sini hari ini.
Taman yang dibuka sejak tahun 2020 itu menawarkan pelbagai produk pelancongan pertanian dan penternakan.
Sejak dibuka ia sudah merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung setakat ini.