fb fb fb fb fb

Talian HEAL 15555 mulakan operasi hari ini

(Khairy pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH))

CYBERJAYA, 21 Oktober- Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 mula beroperasi hari ini bagi membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menghubungi sendiri talian berkenaan berkata operator yang mengendalikan perkhidmatan itu telah dilatih dengan baik bagi membantu pemanggil.

"Mereka dilatih untuk menenangkan pemanggil atau merujuk permasalahan mereka kepada talian 999 atau kepada perkhidmatan mental yang lain.

"Jadi ia merupakan satu usaha yang sangat baik bagi membendung masalah kesihatan mental."

Beliau terdahulu merasmikan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di Cyberjaya.

(Khairy ketika ditemui pemberita di Cyberjaya)

Talian dikendalikan Pegawai Psikologi (Kaunseling) KKM, ketika ini beroperasi pada pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari termasuk cuti umum, dengan waktu operasi akan ditambah baik pada masa depan.

Talian lima digit ini merupakan penambahbaikan kepada Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang menawarkan bantuan sokongan emosi dan psikososial kepada individu yang terkesan.

Trend peningkatan masalah kesihatan mental merupakan isu global dan telah dikenal pasti sebagai satu cabaran besar kepada sektor kesihatan.

Malah situasi kes bunuh diri di Malaysia, amat membimbangkan apabila berlaku peningkatan ketara iaitu 1,142 kes dicatatkan pada 2021 berbanding 631 kes pada tahun sebelumnya.

Media Baharu