fb fb fb fb fb

KKM tempatkan 1,462 kaunselor di PPS, bantu penduduk terjejas banjir

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan
Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di Cyberjaya)

CYBERJAYA, 22 Oktober - Kementerian Kesihatan (KKM) menempatkan 1,462 kaunselor termasuk pegawai dan sukarelawan psikologi kaunseling di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu penduduk terjejas banjir ketika musim tengkujuh.

Menterinya, Khairy Jamaluddin optimis usaha itu akan membantu penduduk terjejas yang berdepan tekanan emosi ketika banjir.

"Untuk musim tengkujuh ini pun kita dah sediakan pegawai-pegawai atau tenaga kerja, (Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial) MHPSS kita, yang akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir, sebab kita tahu penduduk terjejas banjir ini bukan sahaja kehilangan barang, benda dan sebagainya tetapi melalui tekanan mental sangat tinggi disebabkan musibah yang telah pun dialami," kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), di sini.


(Foto fail)

KKM memperluaskan perkhidmatan kaunseling di peringkat komuniti dengan menempatkan 200 pegawai psikologi kaunseling kontrak di peringkat daerah pada tahun 2020.

Tambah beliau, KKM dalam perbincangan untuk menambah 400 pegawai psikologi kaunseling sedia ada bagi memenuhi keperluan dalam kawasan luar bandar.

Khairy berkata pihaknya juga mengambil kaedah penggunaan pelbagai bahasa bagi memudahkan dan memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan mental.

Media Baharu