fb fb fb fb fb

Sejarah Asia perlu dihargai lebih mendalam - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar sejarah Asia dihargai dengan lebih mendalam dan tidak hanya berpaksikan naratif penjajah, sambil menjadikan Tipu Sultan dari Mysore, seorang pemerintah India yang menentang Syarikat Hindia Timur British, sebagai contoh keberanian, keilmuan, dan toleransi.

Menurutnya, sumbangan Tipu Sultan dan bapanya, Haider Ali, sebagai pembela menentang peluasan kuasa penjajahan British, menunjukkan betapa pentingnya memahami sejarah daripada perspektif pemimpin tempatan dan serantau, dan bukan semata-mata daripada catatan Barat.

"Sejarah tidak semestinya bersifat adil. Dalam sesi sebelum ini yang diadakan di sini, saya telah bercakap tentang keperluan untuk membina semula sejarah Malaysia, bagaimana salah seorang sarjana kita, Syed Hussein Alatas, menekankan keperluan untuk membina semula sejarah kerana sejarah tidak boleh ditulis hanya oleh para pemenang atau daripada perspektif penjajah sahaja," katanya,

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis pelancaran pameran 'More Than A Day As A Tiger' di Muzium Kesenian Islam Malaysia, malam tadi.

Jelasnya lagi, rakyat Malaysia secara umumnya mempunyai pengetahuan yang terhad mengenai legasi Tipu Sultan dan Haider Ali, namun pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia itu bakal memperluas pemahaman terhadap dua tokoh bersejarah tersebut.

Beliau menyifatkan pameran itu bukan sekadar pameran biasa, tetapi bertujuan untuk menampilkan sejarah India dan dunia Islam, serta sejarah perjuangan antipenjajahan terhadap kuasa kolonial, khususnya penjajahan British.

Pameran yang dibuka kepada umum bermula esok sehingga 11 Januari 2026 menampilkan koleksi luas meliputi kira-kira 100 artifak, manuskrip, senjata dan karya seni berkaitan Haider Ali dan Tipu Sultan.

Sementara itu, menurut pengarah program, Zulkifli Ishak, pameran itu merupakan hasil usaha berterusan pihak muzium yang telah dirancang sejak sekian lama.

"Pameran ini sebenarnya merupakan cita-cita muzium yang kita simpan sekian lama kita sudah mengumpul artifak ini sejak 20 tahun yang lepas dan akhirnya kita berjaya membuka 'exhibition' (pameran) hari ini," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM