fb fb fb fb fb

Cadangan penerapan nilai tasawuf dalam sistem pendidikan dipertimbang

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Fikrah Siddiq Fadzil peringkat Sarawak 2025/BERNAMA

KUCHING, 8 November - Cadangan memperkenalkan semula pendidikan tasawuf berasaskan nilai murni dalam sistem pendidikan negara wajar dipertimbangkan bagi membentuk masyarakat beretika dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran era teknologi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu akan dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi melihat kesesuaian untuk dimasukkan semula dalam kurikulum atau sukatan pelajaran sedia ada.

Beliau berkata, meskipun dunia bergerak pantas dengan pelbagai inovasi baharu, pembangunan masyarakat tidak seharusnya terpisah daripada nilai dan tanggungjawab sosial berpaksikan identiti serta budaya Malaysia.

"Saya rasakan amat penting untuk perkenalkan balik pendidikan moral ataupun tasawuf itu supaya dapat mengasuh anak-anak dari awal lagi. Juga supaya memahami nilai dan budaya yang sesuai dengan negara yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kepercayaan berbeza," kata beliau.

Jelasnya, usaha itu boleh dilaksanakan sama ada secara formal melalui kurikulum sekolah atau melalui pelbagai program pembangunan insan yang bersifat berterusan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil Peringkat Sarawak 2025 di Kuching.

Seminar bertemakan "Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan Cabaran Memanusiakan Masyarakat Era Malaysia Madani" itu membincangkan cabaran menerapkan nilai kemanusiaan yang semakin terhakis dipengaruhi teknologi, algoritma dan kecerdasan buatan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ