PERMATANG PAUH, 8 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa melawat Galeri Karyawan Nordin Ahmad di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir sempena lawatan kerja beliau ke Pulau Pinang.
Dalam lawatan kira-kira 30 minit itu, Datuk Seri Anwar dibawa meninjau ruang pameran interaktif yang menampilkan foto arkib, memorabilia dan bahan digital berkaitan Allahyarham Nordin Ahmad, antara pelakon unggul dan bintang besar semasa era filem Melayu klasik.
Galeri tersebut yang dibuka sejak Januari lalu mengabadikan kehidupan dan karya Allahyarham Nordin Ahmad, anak jati Permatang Pauh yang dikenali melalui lakonan ikonik dalam filem Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961).
Guru Besar SK Permatang Pasir, Nooraini Abdul Rahman berkata, sekolah berkenaan dipilih kerana seniman berkenaan pernah bersekolah di sekolah tersebut.
"Galeri ini boleh diakses melalui sekolah dengan kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Saya berasa bertuah kerana mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (kerana) tanpa persetujuan mereka, galeri ini tak akan tertubuh," katanya lagi.
Disokong melalui Program Levelling Up Seberang Perai (LUSP),penubuhan galeri berkenaan bukan sahaja bertujuan memperingati tokoh seni tempatan, malah menjadi medium pendidikan untuk memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya negara dalam kalangan pelajar.
Hingga kini, LUSP telah menyalurkan geran berjumlah RM3.9 juta kepada 65 penerima manfaat.