fb fb fb fb fb

Penduduk Gua Musang diingatkan waspada hadapi musim tengkujuh

Foto fail

GUA MUSANG, 8 November -Penduduk di daerah Gua Musang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir sepanjang musim tengkujuh.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar bekalan makanan di lebih 50 pangkalan hadapan atau pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, agensi keselamatan yang terlibat juga berada dalam keadaan siap siaga bagi membantu penduduk kampung berpindah ke kawasan yang lebih selamat sekiranya berlaku banjir secara tidak dijangka.

"Kena ikutlah segala arahan pihak berkuasa dan sentiasa mendengar siren amaran, sebab kita tidak jangka kawasan yang tidak pernah berlaku banjir boleh berlaku. Jadi pematuhan arahan pihak berkuasa amat pentinglah. Dan juga untuk kita sendiri ambil ingatan untuk siren yang disediakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Sebab saya difahamkan pihak JPS telah mengadakan selenggaraan untuk semua siren dan alat-lalat amaran awal untuk banjir inilah,"

Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula pada bulan November dan berterusan sehingga Mac 2025.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, dalam tempoh berkenaan, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

TETITIA YUSOFF