fb fb fb fb fb

Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang: Jalur Gemilang dikibarkan di setiap penjuru kampung

Tradisi menghias Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan

KUALA PERLIS, 5 Ogos - Lebih 3-ribu Jalur Gemilang bakal menghiasi setiap laluan dan 200 rumah penduduk Kampung Bangsal Lebah, Kayang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini serta Hari Malaysia pada 16 September depan.
 
Inisiatif ini bagi membuktikan semangat cintakan negara dikalangan penduduk sentiasa berada di tahap tertinggi dalam menjayakan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai lambang semangat anak merdeka.
 
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bangsal Lebah, Norhayati Hashim, kerjasama dan semangat gotong royong dikalangan penduduk membolehkan Jalur Gemilang dikibarkan di setiap penjuru kampung.
 
" Tradisi menghias Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan telah ber­mula sejak memasuki bulan Ogos ini dan berterusan sehingga Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan, menjadi agenda tahunan penduduk kampung ini", katanya.
 
Program ini juga dapat menyemarak perpaduan selain mengingatkan generasi muda akan erti sebenar kemerdekaan dan menghargai setiap pengorbanan pejuang terdahulu memerdekakan negara.
 
"Semangat patriotik dan juga cintakan negara perlu diterapkan bermula dari kanak-kanak lagi bermula peringkat pra sekolah hingga kepada orang dewasa menerusi pelbagai aktiviti cintakan negara dan pendidikan kenegaraan", tegasnya.
 
Beliau memaklumkannya pada Program Kibaran Jalur Gemilang, 1 Rumah 1 Jalur Gemilang di Kampung Bangsal Lebah, Kayang yang kini giat dilaksanakan bersama penduduk setempat.
 
Sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang boleh dilakukan pada bila-bila sahaja bukan hanya pada Bulan Kebangsaan dan apabila menjelangnya bulan Ogos ia perlu diperhebatkan sebagai tanda cintakan negara.

HASRON BIN HASSAN